Saturday, 13 April 2013

Cabut atau simpan??

Lewat ini, kesedaran terhadap kesihatan pergigian semakin meningkat di kalangan masyarakat. Jika di awal 80-an dan 90-an, dialog seperti "Doktor, nak cabut gigi..berlubang..." seringkali dapat didengar di klinik-klinik pergigian. Namun, senario sekarang mungkin agak berlainan. Kebanyakan pesakit akan datang dan bertanya, " Doktor, gigi sakit..tp saya taknak cabut, nak simpan..kalau tak boleh tampal, nak RCT. Buat la apa2 pun, janji gigi tu taknak cabut..."dan ini mampu membuatkan para doktor gigi pening untuk memberikan pilihan rawatan yang terbaik untuk pesakit. 



Gigi yang telah mati @ non-vital, masih boleh dirawat dengan rawatan Root Canal Treatment (RCT). Gigi boleh menjadi non-vital sekiranya berlaku karies yang tidak dirawat di peringkat awal & kecederaan (trauma) pada gigi. Namun, tidak semua gigi yang non-vital boleh dirawat melalui RCT. Anda perlu berjumpa dengan doktor gigi anda untuk mendapatkan penjelasan dan maklumat lanjut.

Begitu juga dengan gigi yang longgar, kesan daripada penyakit periodontitis (keradangan pada gusi dan tulang penyokong gigi). Tidak semua gigi yang longgar harus dicabut. Dengan kemajuan dalam bidang pergigian, pelbagai kaedah mampu dilakukan bagi menjamin gigi tersebut kekal di dalam mulut. 

Apa yang penting adalah, anda harus mendapatkan pemeriksaan awal di klinik pergigian. Pegawai pergigian akan membuat pemeriksaan dan menjalankan penyiasatan bagi memastikan anda mengetahui masalah sebenar anda. Jangan risau, anda akan dilayan sebaik mungkin dan jangan malu untuk bertanya bagi mendapatkan kepastian atas kemusykilan anda.

Selain pemeriksaan secara berkala, penjagaan gigi di rumah harus diutamakan juga. Jangan lupa untuk memberus gigi sekurang-kurangnya 2 kali sehari, 3 minit setiap sesi, memfloss gigi anda dan berkumur setiap kali selepas makan. Ini mampu mencegah kerosakan gigi dan gusi anda.

Ingat!! Mencegah lebih baik dari merawat....









No comments:

Post a Comment