Tuesday 2 July 2013

Implan Pergigian

Rawatan Implan @ Tanam Gigi semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat kita. Saban hari, penulis sering mendapat pertanyaan mengenai rawatan ini. Sebenarnya, Implan telah lama digunakan dalam bidang perubatan. Ia menggunakan logam Titanium yang telah terbukti mampu untuk bersatu dengan tulang manusia. 
Dalam bidang pergigian, selain digunakan untuk proses 'Tanam Gigi', Titanium juga digunakan bagi merawat kecederaan/ trauma pada ruang kepala dan muka. Ia digunakan dalam kes-kes seperti patah rahang atas dan bawah yang dibetulkan melalui pemnedahan.
Bagi Implan pergigian ini, ia seolah-olah membentuk gigi semulajadi manusia. Ibarat meletak kembali gigi yang dicabut pada tempat asalnya. Konsep implan tidak lain tidak bukan adalah untuk menggantikan gigi yang hilang. Seperti gigi palsu dan jambatan gigi (Dental Bridge), implan juga menggunakan konsep yang sama. Ini kerana, bahan implan ini juga prostesi, cuma ia lebih memerlukan kepakaran dan sedikit pembedahan jika perlu.
Sebelum memulakan rawatan implan, anda harus berjumpa dengan mana-mana doktor gigi bagi mendapatkan konsultasi dan pemeriksaan awal. Setelah didapati sesuai, anda akan dirujuk ke klinik pakar. Dalam pengetahun penulis, di negeri Terengganu, terdapat dua kepakaran yang melakukan implan. Ia melibatkan Pakar Periodontik dan semestinya Pakar Bedah Mulut. Kedua-dua klinik kepakaran ini terletak di dalam kawasan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Klinik Pakar Periodontik terletak di sebelah unit pesakit luar, manakala Klinik Pakar Bedah Mulut terletak di dalam bangunan Pusat Rawatan Harian @ ACC. 
Di klinik pakar, anda akan menerima konsultasi dari pakar pergigian, melakukan beberapa pemeriksaan dan semestinya ujian radiograf akan dilakukan. Untuk tujuan ini, Radiograf OPG (Orthopantomogram) atau Panoramic radiografi akan digunakan. Ini membantu pakar menentukan ketebalan tulang rahang anda selain memutuskan samada anda layak atau tidak untuk meneruskan rawatan ini. 
Kos rawatan pula bergantung kepada pengeluar Titanium ini. Kebiasaannya, satu implan yang lengkap dengan korona (crown) berjumlah di antara RM2500-RM3000. Jika anda melakukan implan di klinik swasta, jumlah ini mungkin boleh berganda mengikut klinik yang anda lawati. 
Poster di bawah menunjukkan secara ringkas mengenai rawatan implan. Anda boleh berjumpa dengan doktor gigi yang berhampiran atau tinggalkan soalan di ruangan komen untuk mendapatkan rawatan lanjut...=)



No comments:

Post a Comment